;

Khamis, 10 September 2009

siaran kenyah di mirifm

Siaran Kenyah di Mirifm

Oleh RANIA PARAN
utusansarawak@utusan.com.my



--------------------------------------------------------------------------------



MIRI 9 Sept. - Setelah sekian lama menunggu, akhirnya siaran dalam bahasa Kenyah menembusi ruang udara Mirifm, Sarawak. Pelancaran siaran ini menjadikan Mirifm mempunyai empat siaran iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Iban dan Kenyah.

Sebelum ini, Mirifm menyiarkan siaran dalam bahasa Kayan dan pelancaran siaran bahasa Kenyah ini sekali gus menjadikan Mirifm mempunyai keunikan tersendiri kerana mengabungkan pelbagai etnik yang ada di Sarawak.

Siaran ini ke udara setiap hari mulai jam 11 pagi hingga 12 tengah hari menerusi gelombang FM 98.0mghz dan 97.5mghz.

Pemangku Pengawal Penyiaran RTM Miri, Fauziah Zakaria berkata, menariknya liputan siaran Kenyah ini tidak lagi terhad di Sarawak bahkan ia boleh didengar di mana sahaja pelosok dunia dengan adanya kemajuan Internet.

Sempena ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ke-63, penambahbaikan dari segi mutu rancangan yang melibatkan keempat-empat perkhidmatan dilaksanakan. Ini bagi memastikan program yang ke udara relevan dengan selera pendengar.

Seiring dengan itu juga, Mirifm telah memperkenalkan radio Internet atau radio Online yang boleh didengar menerusi Internet di www.miri.fm.

''Sejak dilancarkan pada 1 April tahun ini, saluran Kenyah terus mendapat sokongan daripada orang ramai bukan sahaja dalam Sarawak bahkan komuniti Kayan Kenyah yang bekerja di luar negara," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Fauziah menambah, setakat ini lebih 10,000 pendengar mendengar siaran Mirifm menerusi laman sesawang www.miri.fm dan jumlah ini dijangka terus meningkat dengan perkembangan semasa dunia siber.

Ahli Parlimen Baram, Datuk Jacob Dungau Sagan berkata, pelancaran siaran radio Kenyah ini sudah lama ditunggu oleh masyarakat Kenyah khususnya yang tinggal jauh di pedalaman.

Katanya, siaran ini amat signifikan dalam menyalurkan maklumat serta isu terkini kepada masyarakat Kenyah yang majoritinya masih tinggal di kawasan pedalaman seperti Hulu Baram, Miri, Hulu Kakus, Bintulu dan Hulu Belaga di Kapit.

Beliau memuji usaha RTM melancarkan Siaran Kenyah yang membantu memperluaskan lagi penyebaran maklumat kepada masyarakat Kenyah khasnya di kawasan pedalaman.

''Menerusi siaran itu, kita dapat menyampaikan berita terkini, dasar dan program kerajaan dengan jelas dan lebih berkesan.

''Sebagai contoh jangkitan denggi. Mungkin ramai penduduk di Hulu Baram tidak tahu apa yang berlaku. Namun dengan adanya siaran ini, mereka boleh berhubung terus dengan pusat RTM," katanya.

Beliau yang juga merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pada masa yang sama usaha ini dapat memelihara keunikan bahasa etnik di negeri ini daripada pupus dilanda kemodenan.

Beliau tidak mahu bahasa etnik di negeri ini mengalami nasib yang sama seperti 6,000 bahasa etnik di negara-negara lain seluruh dunia yang telah pupus dan dilupakan oleh generasi-generasi muda.

''Kita tidak mahu bahasa Kenyah menerima nasib yang sama seperti 6,000 bahasa etnik di seluruh dunia yang hapus begitu sahaja kerana tidak ada penutur-penutur baru," katanya.

Dalam konteks ini, Jacob mencadangkan agar nyanyian, muzik dan cerita rakyat kaum Kenyah didokumentasikan untuk tatapan generasi akan datang.

''Saya berharap siaran Kenyah terus memainkan peranan penting dalam memperkenalkan kekayaan warisan dan budaya seperti muzik, lagu dan tarian kaum Kenyah kepada pendengar yang berbilang kaum," tambahnya.

tiada lagi rundingan politik

Tiada lagi rundingan politik
Oleh HERMAN HAMIDherman@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pas tidak akan berunding dengan UMNO dalam soal kerjasama politik tetapi terbuka untuk berbincang dalam mengukuhkan kerjasama Kerajaan Pusat dan negeri serta yang melibatkan kepentingan negara dan ummah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas dari dulu lagi tidak pernah meletakkan batasan dalam berunding berkaitan hubungan Pusat dan negeri yang diperintah Pas serta soal kepentingan umum seperti dalam isu Palestin dan bahasa.
Tegasnya, justeru apa yang tidak akan dirundingkan dengan UMNO adalah soal kerjasama politik kerana pendirian Pas pada waktu ini ialah untuk meneruskan kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Ada tiga dimensi dalam soal kerjasama Pas dengan mana-mana pihak. Pertama politik, pilihan raya hingga membentuk kerajaan, kedua hubungan 'federalisme' dan ketiga kepentingan umum serta ummah.
"Yang pertama dari segi politik, itu memang tak ada lagi rundingan dengan UMNO kerana dasar kita waktu ini adalah bersama pakatan.
"Dalam soal hubungan antara Kerajaan Pusat yang diterajui UMNO dengan negeri ditadbir Pas dan libatkan kepentingan umum, negara dan ummah seperti isu Palestin, ini Pas dengan sesiapapun boleh berbincang termasuk UMNO," katanya kepada pemberita di pejabat Pas di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad.
Mustafa mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang mengulangi kesanggupan sedia berunding dengan Pas bagi melihat masa depan umat Islam terus terbela dan dipertingkatkan.
Bagaimanapun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam reaksinya semalam menyifatkan rundingan antara UMNO dan Pas telah tertutup kecuali yang berkait soal pemberian royalti kepada kerajaan negeri.
Sementara itu, Mustafa yang ditanya mengenai pandangan Nik Aziz dalam isu tersebut berkata, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu hanyalah bersifat secara umum.
Katanya, walaupun Nik Aziz tidak menyentuh kerjasama Pas secara tiga dimensi seperti yang diulas beliau, namun boleh difahami bahawa yang disifatkan tertutup itu hanyalah dalam rundingan membentuk kerjasama politik.
"Beliau tak bagi tiga dimensi, sebut secara umum saja tapi disebut juga kerajaan dengan kerajaan dia kata boleh (runding) tapi yang politik dia kata tak boleh. Kalau nak bincang bab royalti, itu boleh... samalah," jelasnya.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata, beliau sebenarnya sukar untuk memahami secara tepat apa yang dimaksudkan oleh Najib dalam kesediaannya untuk berunding dengan Pas.
Katanya, apa yang pasti jika rundingan yang dimaksudkan dalam konteks hubungan kerajaan Pusat dengan negeri yang diperintah Pas maka ia bukan saja perlu ada malah perlu dipertingkatkan untuk kepentingan rakyat.
"Banyak perkara berkait pembangunan... peruntukannya daripada Pusat kerana negeri tak ada dana yang banyak sebab hasil Pusat datang daripada pelbagai cukai.
"Tanggungjawab Pusat itu besar dan sudah tentu perlu ada perbincangan antara pemimpin UMNO yang menerajui Pusat dengan pemimpin Pas yang memerintah negeri berkenaan. Itu tak jadi masalah," ujarnya.a

Nemu kita

Kayu angkaras tau ka garu diatu chukup berega. kitai suah ningga cerita ari sida ka tuai dulu kelia bisi nusi pegawa ka begiga ka kayu tu. Tang ka diatu kayu tu nyangka nyau tusah di giga ba kampung laban udah di kemansang ka. Ari nya sekeda urang dagang ari menoa bukai sanggup meli enggau rega ka patut.Beduduk ari tu, kitai ka ngemeran ka pengawa bumai betupi tau nguji nanam kayu tu ka limpah ari nanam utai bukai. Nama penemu kita.

bantuan aidilfitri

Bantuan khas Aidilfitri
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISApengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 9 Sept. – Kerajaan mengumumkan pembayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada kakitangan awam kumpulan sokongan bagi membantu mereka menghadapi Aidilfitri dan sesi persekolahan akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Aidilfitri dan bakinya pada Disember ini.
Menurutnya, bantuan khas kewangan itu akan memanfaatkan 860,000 kakitangan awam dalam kumpulan tersebut.
“Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran tersebut adalah sebanyak RM430 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri menambah, keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persediaan persekolahan hujung tahun ini.
Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menimbangkan ‘duit raya’ atau bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.
Menurut presidennya, Omar Osman, pihaknya bersetuju jika Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.
“Tetapi tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini menikmati ’duit raya’,” katanya.
Malah, Omar dilaporkan memberitahu, perbincangan mengenai bonus itu telah diadakan menerusi dalam mesyuarat tertinggi kongres tersebut dan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Tahun lalu, dua juta kakitangan awam negara ini menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Mercedes-Benz Cars. Powered by Blogger