;

Khamis, 10 September 2009

siaran kenyah di mirifm

Siaran Kenyah di Mirifm

Oleh RANIA PARAN
utusansarawak@utusan.com.my



--------------------------------------------------------------------------------



MIRI 9 Sept. - Setelah sekian lama menunggu, akhirnya siaran dalam bahasa Kenyah menembusi ruang udara Mirifm, Sarawak. Pelancaran siaran ini menjadikan Mirifm mempunyai empat siaran iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Iban dan Kenyah.

Sebelum ini, Mirifm menyiarkan siaran dalam bahasa Kayan dan pelancaran siaran bahasa Kenyah ini sekali gus menjadikan Mirifm mempunyai keunikan tersendiri kerana mengabungkan pelbagai etnik yang ada di Sarawak.

Siaran ini ke udara setiap hari mulai jam 11 pagi hingga 12 tengah hari menerusi gelombang FM 98.0mghz dan 97.5mghz.

Pemangku Pengawal Penyiaran RTM Miri, Fauziah Zakaria berkata, menariknya liputan siaran Kenyah ini tidak lagi terhad di Sarawak bahkan ia boleh didengar di mana sahaja pelosok dunia dengan adanya kemajuan Internet.

Sempena ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ke-63, penambahbaikan dari segi mutu rancangan yang melibatkan keempat-empat perkhidmatan dilaksanakan. Ini bagi memastikan program yang ke udara relevan dengan selera pendengar.

Seiring dengan itu juga, Mirifm telah memperkenalkan radio Internet atau radio Online yang boleh didengar menerusi Internet di www.miri.fm.

''Sejak dilancarkan pada 1 April tahun ini, saluran Kenyah terus mendapat sokongan daripada orang ramai bukan sahaja dalam Sarawak bahkan komuniti Kayan Kenyah yang bekerja di luar negara," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Fauziah menambah, setakat ini lebih 10,000 pendengar mendengar siaran Mirifm menerusi laman sesawang www.miri.fm dan jumlah ini dijangka terus meningkat dengan perkembangan semasa dunia siber.

Ahli Parlimen Baram, Datuk Jacob Dungau Sagan berkata, pelancaran siaran radio Kenyah ini sudah lama ditunggu oleh masyarakat Kenyah khususnya yang tinggal jauh di pedalaman.

Katanya, siaran ini amat signifikan dalam menyalurkan maklumat serta isu terkini kepada masyarakat Kenyah yang majoritinya masih tinggal di kawasan pedalaman seperti Hulu Baram, Miri, Hulu Kakus, Bintulu dan Hulu Belaga di Kapit.

Beliau memuji usaha RTM melancarkan Siaran Kenyah yang membantu memperluaskan lagi penyebaran maklumat kepada masyarakat Kenyah khasnya di kawasan pedalaman.

''Menerusi siaran itu, kita dapat menyampaikan berita terkini, dasar dan program kerajaan dengan jelas dan lebih berkesan.

''Sebagai contoh jangkitan denggi. Mungkin ramai penduduk di Hulu Baram tidak tahu apa yang berlaku. Namun dengan adanya siaran ini, mereka boleh berhubung terus dengan pusat RTM," katanya.

Beliau yang juga merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pada masa yang sama usaha ini dapat memelihara keunikan bahasa etnik di negeri ini daripada pupus dilanda kemodenan.

Beliau tidak mahu bahasa etnik di negeri ini mengalami nasib yang sama seperti 6,000 bahasa etnik di negara-negara lain seluruh dunia yang telah pupus dan dilupakan oleh generasi-generasi muda.

''Kita tidak mahu bahasa Kenyah menerima nasib yang sama seperti 6,000 bahasa etnik di seluruh dunia yang hapus begitu sahaja kerana tidak ada penutur-penutur baru," katanya.

Dalam konteks ini, Jacob mencadangkan agar nyanyian, muzik dan cerita rakyat kaum Kenyah didokumentasikan untuk tatapan generasi akan datang.

''Saya berharap siaran Kenyah terus memainkan peranan penting dalam memperkenalkan kekayaan warisan dan budaya seperti muzik, lagu dan tarian kaum Kenyah kepada pendengar yang berbilang kaum," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Mercedes-Benz Cars. Powered by Blogger